Cute Polka Dotted Pink Bow Tie Ribbon

Wednesday 25 January 2017

Kelebihan Penggunaan Komputer di dalam Pengajaran dan Pembelajaran.

NAMA PENUH :   YASYEN SAMIUL
NO KAD MATRIK :   EC1412064
BIDANG PENGAJIAN :   DIPLOMA PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
CITA-CITA : PHOTOGRAPHER



                         

Komputer adalah alat elektronik yang direka untuk bekerja dengan maklumat. Perkataan komputer ini berasal dari istilah Latin iaitu 'Computare' yang bermaksud untuk mengira atau mesin boleh atur. Komputer telah mula di perkenalkan pada abad ke-19 oleh seorang Profesor English Matematik, Charles Babbage. Beliau mereka mesin analitik dan reka bentuk mesin ini lah yang menjadi rangka kerja asas komputer yang kita gunakan pada masa kini. Komputer pada zaman dahulu telah berkembang melalui lima generasi. Komputer yang kita gunakan pada masa kini adalah komputer generasi kelima.

Kemunculan komputer sebagai media elektronik telah memudahkan pengguna komputer. Komputer mempunyai banyak kelebihan terutamanya kepada tenaga pengajar. Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah memberikan manfaat kepada tenaga pengajar dan juga murid-murid. Berikut adalah beberapa kelebihan yang akan diperolehi melalui penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran:-

i) Proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan.

Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas akan membantu penyampaikan guru dengan lebih berkesan berbanding menggunakan papan putih. Pengajaran melalui komputer membolehkan guru berkongsi lebih banyak maklumat kepada muridnya. Contohnya, guru mengajar muridnya mengenal warna pelangi. Guru boleh menggunakan komputer untuk menunjukkan bentuk dan warna pelangi kepada muridnya. Selain itu, guru juga boleh menunjukkan video bagaimana pelangi boleh terbentuk. Berbanding menggunakan papan putih, penggunaan komputer dalam bilik darjah adalah lebih berkesan.

ii) Penglibatan murid lebih memberangsangkan.

Penglibatan murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran akan lebih memberangsangkan dengan adanya komputer sebagai bahan bantu mengajar. Penggunaan komputer akan membantu murid untuk lebih fokus dan dapat menarik minat murid tentang topik yang dipelajari pada masa tersebut. Ramai murid yang berminat dengan teknologi moden dan mereka dengan semula jadi akan melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran kerana adanya komputer. Contohnya, semasa aktiviti pembelajaran berlangsung murid akan lebih banyak bertanya tentang komputer dan apa yang dipaparkan oleh guru mereka melalui komputer.

iii) Menjimatkan masa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Penggunaan komputer semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dapat menjimatkan masa serta mengelakkan pembaziran masa. Seperti yang kita sedia maklum, komputer dapat menyimpan data dan maklumat. Oleh itu, guru boleh menyampaikan maklumat dengan segera serta menjawab pertanyaan murid dengan cepat. Guru boleh menyimpan bahan pembelajaran dalam komputer dan dapat mengelakkan pembaziran masa jika guru tidak mempunyai bahan pengajaran. Guru akan menggunakan maklumat yang disimpannya dalam komputer. 

iv) Memudahkan kerja guru.

Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga dapat membantu guru memudahkan kerja. Melalui pengunaan komputer guru boleh menggunakan pelbagai kemudahan yang tersedia di dalam komputer. Guru boleh memuat turun audio dan video yang berkaitan dengan pembelajaran melalui komputer dan menggunakannya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

v) Meningkatkan prestasi murid.

Proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan komputer dapat meningkatkan prestasi murid. Unsur interaktif membolehkan murid belajar dengan lebih mudah, pantas, selesa, murah, mudah mengingat, memindah serta mengaplikasikan pengetahuan kepada situasi baru mengikut gaya pembelajaran mereka (Alessi & Trollip, 2001). Kemudahan yang ada dalam komputer dapat membantu murid untuk belajar dengan lebih mudah. Contohnya, murid boleh menonton video pembelajaran di YouTube atau memuat turunnya untuk digunakan sebaga bahan ulang kaji.

Kesimpulannya, penggunaan komputer akan membuat proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan, penglibatan murid lebih memberangsangkan, menjimatkan masa sesi pengajaran dan pembelajaran, memudahkan kerja guru serta dapat membantu meningkatkan prestasi murid. Pengunaan komputer perlu di wajibkan disekolah agar guru dan murid dapat menjalani aktiviti pembelajaran dan pengajaran dengan lebih berkesan.





Ciri-Ciri Bilik Darjah di Masa Hadapan



      Peredaran zaman telah membawa banyak perubahan kepada dunia dan manusia merupakan individu yang bertanggungjawab dalam mengubah serta memajukan dunia dan teknologi. Pada masa kini, dunia teknologi semakin berkembang di serata dunia. Dunia teknologi telah memodenkan dunia dan memberi banyak jenis kemudahan kepada pengguna seperti komputer, telefon pintar, televisyen, internet dan sebagainya. Selain itu, kemudahan teknologi juga memudahkan kerja di sekolah, pejabat, kedai, rumah dan sebagainya. Pada masa akan datang, dunia akan bertambah moden dan akan mengalami perubahan seperti keadaan di sekolah. Ciri-ciri dan persekitaran di dalam bilik darjah akan berubah daripada moden kepada lebih moden.

        Pada masa hadapan, murid-murid tidak perlu membawa buku ke sekolah kerana setiap murid mendapat pinjaman laptop dari sekolah bagi menggantikan buku teks. Guru akan menghantar semua nota dan latihan kepada murid melalui e-mail dan murid-murid juga akan menghantar tugasan mereka melalui e-mail. Sesi pengajaran dan pembelajaran juga tidak menggunakan buku, guru menggunakan laptop dan projektor sebagai alat bantu mengajar. Melalui cara ini, guru dan murid akan lebih berpengetahuan tentang dunia teknologi dan mengurangkan penggunaan kertas.

      Seterusnya, bilik darjah pada masa hadapan mempunyai televisyen litar tertutup (CCTV) yang dapat mengesan murid yang melanggar peraturan sekolah. CCTV pada masa tersebut mempunyai sistem yang membolehkan ia menyimpan maklumat dan mengesan identiti murid. Maklumat yang disimpan oleh CCTV ini tidak boleh dicuri atau diubah oleh sesiapa. Jika terdapat murid yang melanggar peraturan sekolah seperti meniru semasa peperiksaan atau bergaduh, kesalahan murid tersebut akan di kemaskini dalam sistem maklumat murid dan amaran akan terus dihantar kepada ibubapa bersama bukti rakaman. Murid yang melakukan kesalahan berat akan di senarai hitam dalam sistem maklumat murid dan dibuang sekolah. Melalui cara ini, masalah disiplin di sekolah akan dapat dikurangkan dan memudahkan kerja guru.

      Selain itu, setiap pintu kelas mempunyai penggera yang dapat mengesan murid yang keluar dari kelas tanpa pas atau keluar semasa sesi pembelajaran. Penggera tersebut akan berbunyi jika terdapat murid keluar tanpa pas atau semasa sesi pembelajaran. Penggera ini juga dapat mengesan identiti setiap murid yang keluar dan masuk kelas berserta masa mereka keluar dan masuk kembali ke kelas. Pagar sekolah juga mempunyai penggera yang sama bagi mengesan murid yang lewat ke sekolah atau keluar tanpa kebenaran. Penggera ini penting bagi menjaga keselamatan murid, menepati masa dan tidak melanggar peraturan sekolah. 


      Kesimpulannya, perubahan ciri-ciri bilik darjah pada masa hadapan dapat menjamin kualiti sistem pendidikan. Selain itu, persekitaran pembelajaran murid juga akan lebih kondusif dan memudahkan pembelajaran mereka dengan adanya teknologi moden.




Sekian, terima kasih.


Rujukan.

Alessi, S.M.& Trollip, S.R.(2001).Multimedia for learning Method and Development.Massachusetts: Allyn & Bacon.

No comments:

Post a Comment